PRISMA 3 Untuk Terbitan Skudai Post

Para Pemenang UTM

PELAJAR UTM MEMENANGI 8 HADIAH DI PERTANDINGAN REKABENTUK ISLAMIK : SENIBINA MASYARAKAT (PRISMA) 2013

Bersempena dengan Majlis Perujian Tilawah Al-Quran MAKUM 2013 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 8 – 10 Mac 2013 yang lalu, Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM) telah menganjurkan Pertandingan Rekabentuk Islamik : Senibina Masyarakat (PRISMA).

Ini adalah PRISMA kali ke-3 yang telah dianjurkan oleh Pusat KALAM dan terbuka kepada semua pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia. Menerusi PRISMA, daya kreativiti para peserta diuji melalui kemampuan setiap peserta menterjemahkan definisi perumahan Islamik melalui inovasi rekabentuk rumah mampu milik dan konsep ‘growing home’. Ini adalah seiring dengan objektif penganjuran untuk mencetuskan inspirasi, daya saing yang sihat di kalangan mahasiswa IPT serta mengembangkan idea yang berinovasi serta kreatif.

Bertempat di B12, Fakulti Alam Bina, PRISMA menyaksikan penyertaan yang begitu menggalakkan daripada 8 buah IPT seluruh Malaysia iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Lim Kok Wing University, Geomatika College dan Politeknik Iskandar Sultan (PIS).

Berucap semasa acara pembukaan, Pengarah KALAM, PM Dr. Raja Nafida Raja Shahminan, menyatakan rasa teruja beliau melihat jumlah penyertaan yang berganda pada tahun ini. Ini merupakan satu petanda bahawa konsep Islamik yang cuba diterapkan dalam pertandingan seumpamanya semakin diterima, malah menjangkaui kelompok mahasiswa tertentu dan hasilnya begitu terserlah dalam hasil kerja yang dipersembahkan.

Seramai 70 orang peserta merangkumi 18 buah kumpulan, dengan 7 daripadanya adalah penyertaan mahasiswa UTM. Pemenang ditentukan melalui dua tahap penjurian berasingan iaitu penilaian poster dalam bentuk pameran dan soal jawab, serta persembahan multimedia dalam bentuk format digital dengan durasi tidak melebihi 15 minit bagi setiap kumpulan.

Mengungguli Hadiah Utama yang dipertaruhkan, nama UTM dijulang di atas kemenangan Piala Pusingan Hijjaz Kasturi bernilai RM 10,000 oleh sekumpulan 5 mahasiswa yang diketuai oleh Mohamad Faizullah Ermi bin Herman. Kejuaraan itu menjadi milik mereka apabila berjaya meraih jumlah mata terkumpul yang tertinggi melalui kemenangan sebagai Naib Johan bagi Kategori Rekabentuk serta Tempat Ketiga bagi Kategori Persembahan Multimedia, sekaligus melayakkan mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM 2,250 beserta cenderahati KALAM.

Kejayaan turut dilakar peserta solo perempuan tunggal dari UTM, Sofiah binti Harun apabila mengungguli Kategori Rekabentuk dan mengaut wang tunai bernilai RM 2,500 beserta cenderahati KALAM. Manakala kumpulan yang diketuai oleh Tengku Amirul Asyraf Tengku Ruslan, juga dari UTM, muncul Johan bagi Kategori Persembahan Multimedia dengan wang tunai bernilai RM 1,500 beserta cenderahati KALAM. 4 daripada 6 hadiah Saguhati yang dipertandingkan turut menjadi milik peserta dari UTM, memberikan kemenangan berganda dan pencapaian terbaik di PRISMA pada kali ini.

Selain UTM, pemenang pertandingan PRISMA turut membariskan peserta daripada Lim Kok Wing University melalui kemenangan Naib Johan bagi Kategori Persembahan Multimedia dan Universiti Islam Malaysia (UIA) melalui kemenangan Tempat Ketiga bagi Kategori Rekabentuk. Hadiah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni (HEMA), Prof. Dr. Mohd Ismail Abd. Aziz dengan diiringi oleh Pengarah KALAM pada Upacara Penutupan MAKUM 2013 di Dewan Sri Iskandar (DSI), UTM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *